Sabtu, 29 Januari 2022 – Pada Sabtu yang lalu telah berlangsung Program Kayuhan "Mosque Connect" anjuran Jabatan Pengurusan Masjid-masjid, Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak (LAKMNS).
Kayuhan ini bertujuan untuk mengimarahkan surau-surau dan masjid-masjid di samping mengeratkan hubungan silaturrahim dengan pendekatan sukan berbasikal yang merupakan trend sukan semasa dan pada masa yang sama mempromosikan budaya gaya hidup sihat.
Mengetuai kayuhan adalah Ketua Pegawai Eksekutif LAKMNS, YBhg. Datuk Haji Abang Abdul Wahap bin Haji Abang Julai. Seramai hampir 200 peserta menyertai kayuhan ini terdiri daripada kakitangan LAKMNS serta peminat-peminat sukan berbasikal di sekitar Kuching.
Kayuhan bermula seawal 6.30 pagi bermula di Masjid Jamek Negeri Sarawak selepas solat Subuh berjemaah. Sepanjang kayuhan, peserta melakukan beberapa pit stop iaitu di Masjid Ikhwanul Islam, Taman Sukma, Masjid Darul Akmal, Taman Semariang Aman, dan seterusnya pit stop terakhir adalah di Surau Darul Salihin, Kampung Pasir Panjang, di mana peserta menunaikan solat Dhuha dan dihidangkan dengan Kuliah Dhuha yang disampaikan oleh al-Fadhil Ustaz Mahathir bin Ahmad, Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam LAKMNS, sebelum kembali menamatkan kayuhan ke Masjid Jamek Negeri Sarawak.