KUCHING - Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak (LAKMNS) telah melancarkan Radio Digital LAKMNS - Internet Radio Islamic Sarawak (IRIS) bertempat di Tingkat 8, Baitul Makmur pada 24 Julai 2020. Majlis telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Datuk Dr. Haji Abdul Rahman bin Haji Junaidi, Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan Menteri Muda Utiliti (Bekalan Air).
Dalam ucapan Ketua Pegawai Eksekutif LAKMNS tersebut, beliau memaklumkan IRIS akan memulakan siaran pada 27 Julai 2020. IRIS akan ke udara pada setiap Isnin hingga Jumaat (Hari Bekerja), dari jam 11.00 pagi hingga 3.00 petang. Selain pengisian slot daripada agensi-agensi Islam, IRIS juga menyediakan segmen kesihatan, kaunseling dan motivasi untuk pendengar-pendengar.
Antara intipati ucapan Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan Menteri Muda Utiliti (Bekalan Air) adalah mengucapkan syabas dan tahniah kepada pihak Lembaga yang mengambil inisiatif untuk menubuhkan Radio Digital iaitu IRIS.
IRIS merupakan salah satu platform “Infotainment” yang berperanan sebagai medium penyebaran maklumat di antara agensi-agensi Islam dengan masyarakat luar khususnya di negeri Sarawak.
Hadir sama adalah Encik Mohamad Feisal bin Said, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif LAKMNS, Yang Amat Arif Tuan Haji Awang Suhaili bin Ledi, Ketua Hakim Syarie, Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak, Puan Hajah Zabariah binti Haji Matali, Ketua Pegawai Eksekutif Islamic Information Centre serta wakil-wakil ketua agensi Islam yang lain.