SIDANG MEDIA FESTIVAL MAAL HIJRAH 1448H/2026

Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak (LAKMNS) akan meneruskan penganjuran Festival Maal Hijrah 1448H/2026M (FMH) yang dijadualkan berlangsung dari 12 hingga 21 Jun 2026 bertempat di Dewan Serbaguna Taman Sukma sebagai lokasi utama penganjuran.

5/19/20261 min read

19 Mei 2026 – Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak (LAKMNS) akan meneruskan penganjuran Festival Maal Hijrah 1448H/2026M (FMH) yang dijadualkan berlangsung dari 12 hingga 21 Jun 2026 bertempat di Dewan Serbaguna Taman Sukma sebagai lokasi utama penganjuran.

Festival tahunan ini dianjurkan bersempena sambutan Tahun Baharu Hijrah 1448H dengan matlamat menyemarakkan penghayatan nilai penghijrahan, memperkukuh perpaduan masyarakat serta mendekatkan institusi masjid dengan komuniti melalui pendekatan yang lebih santai, terbuka dan inklusif.

Festival tersebut bakal menampilkan pelbagai pengisian berbentuk kerohanian, pengimarahan masjid, program ilmu, aktiviti komuniti, sukan dan riadah yang menyasarkan penyertaan semua lapisan masyarakat termasuk kanak-kanak, golongan belia, muslimah serta seisi keluarga.

Antara program utama yang akan dianjurkan termasuk Majlis Kesyukuran Doa Akhir dan Awal Tahun, Pertandingan Tilawah al-Quran, Pertandingan Berzanji dan Marhaban serta Malam Cinta Rasul.

Selain itu, pelbagai aktiviti riadah dan komuniti turut diadakan seperti badminton, pickleball, e-sport serta aktiviti santai yang bersifat family-oriented bagi menggalakkan penyertaan masyarakat secara menyeluruh.

Festival ini juga membuka ruang kepada penyertaan usahawan tempatan dan perusahaan kecil dan sederhana (SME) melalui penyediaan reruai dan aktiviti komersial sebagai platform untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan masing-masing.

Penganjuran festival ini menerima kerjasama strategik daripada Majlis Islam Sarawak, Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Antara penaja utama festival ialah Sarawak Plantation Berhad, Senari Synergy, BMASJ Timber Sdn. Bhd. dan Lubuk Tiara Sdn. Bhd.

Dalam pada itu, acara simbolik menaikkan bendera rasmi Festival Maal Hijrah akan diadakan pada 14 Jun 2026 menerusi kerjasama bersama DBKU bersempena Program Car Free Morning.

Majlis Penangguhan Festival Maal Hijrah pula dijadual berlangsung pada 21 Jun 2026 di Dewan Serbaguna Taman Sukma. Antara tarikan utama pada majlis tersebut ialah penyampaian hadiah cabutan bertuah kepada para pengunjung, termasuk pakej umrah serta dua buah motosikal.

Orang ramai yang ingin mendapatkan makluman lanjut berkaitan Festival Maal Hijrah 1448H/2026M boleh melayari portal rasmi festival di www.fmhlakmns.com.

LAKMNS turut mengalu-alukan kehadiran seluruh masyarakat tanpa mengira latar belakang agama dan kaum untuk bersama-sama memeriahkan festival tersebut sebagai platform bagi memperkukuh keharmonian dan perpaduan masyarakat majmuk di Sarawak.

Follow us on social media

Disclaimer: Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website inclusive of using the Online Tools Translator for third language. Services provided through this website are subject to the terms and conditions of the respective service providers.

2024 Hak Cipta Terpelihara LEMBAGA AMANAH KEBAJIKAN MASJID NEGERI SARAWAK

Tingkat 8, BAITUL MAKMUR,

Medan Raya, Petra Jaya, 93050 Kuching, Sarawak, Malaysia.
Phone: +6082440775, 440795, 449042
Email: info@lakmns.org.my

Pelawat