PROGRAM PENGAGIHAN BUBUR MASJA-SA 2026
Sebanyak 3,200 pek bubur disediakan setiap hari sempena Program Pengagihan Bubur MASJA-SA yang berlangsung bermula 1 hingga 10 Mac 2026.
3/4/20262 min read


Sebanyak 3,200 pek bubur disediakan setiap hari sempena Program Pengagihan Bubur MASJA-SA yang berlangsung bermula 1 hingga 10 Mac 2026. Seperti tahun-tahun terdahulu, pengagihan dilaksanakan secara pandu lalu (drive-thru) di Masjid Jamek Negeri Sarawak dan Masjid Bandaraya Kuching. Majlis Perasmian program yang diadakan pada hari ini bertempat di perkarangan Masjid Jamek Negeri Sarawak dengan simbolik “nguar bubur” telah disempurnakan oleh Setiausaha Kehormat LAKMNS, YBhg. Tan Sri Datuk Amar (Dr.) Haji Abdul Aziz bin Dato Haji Husain. Turut serta ialah Ketua Pegawai Eksekutif LAKMNS, YBhg. Datu Haji Abdul Hadi bin Datuk Haji Abdul Kadir, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Encik Mohamad Feisal bin Said, wakil penaja serta pengurusan kanan LAKMNS. Objektif penganjuran program ini adalah untuk menggalakkan kebersamaan dalam kalangan umat Islam serta membantu masyarakat menyediakan juadah berbuka puasa. Program ini juga bertujuan memperkukuh peranan masjid sebagai platform bagi aktiviti kemasyarakatan dan kebajikan, di samping memberi ruang kepada orang ramai termasuk pihak korporat untuk terlibat dalam program berasaskan komuniti. Pengagihan Bubur MASJA-SA tahun ini mendapat tajaan daripada Liansin Sdn Bhd yang menaja sebanyak 500 kilogram beras, serta Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) yang turut menyumbang 250 kilogram beras bagi menjayakan penyediaan bubur sepanjang program berlangsung. Persiapan dan penyediaan bubur ini melibatkan kerjasama kakitangan Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak (LAKMNS) bersama para sukarelawan daripada Kelab Belia MASJA-SA, Kolej Komuniti Kuching serta Hidayah Centre Foundation (HCF). Dalam perkembangan lain, LAKMNS ingin mengajak orang ramai untuk bersama-sama mengimarahkan beberapa program berbaki sempena bulan Ramadan ini. Antaranya Program Haflah al-Quran pada 6 dan 7 Mac 2026 masing-masing di Masjid Jamek Negeri Sarawak dan Masjid Bandaraya Kuching. Selain itu, turut diadakan Iktikaf 10 malam terakhir di kedua-dua masjid berkenaan. Sehubungan itu, orang ramai juga dipelawa untuk terus menyokong usaha-usaha kebajikan dan pengimarahan masjid dengan berinfaq bagi menjayakan program-program sempena Ramadan yang dianjurkan.

Follow us on social media
Disclaimer: Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website inclusive of using the Online Tools Translator for third language. Services provided through this website are subject to the terms and conditions of the respective service providers.
2024 Hak Cipta Terpelihara LEMBAGA AMANAH KEBAJIKAN MASJID NEGERI SARAWAK
Tingkat 8, BAITUL MAKMUR,
Medan Raya, Petra Jaya, 93050 Kuching, Sarawak, Malaysia.
Phone: +6082440775, 440795, 449042
Email: info@lakmns.org.my
Pelawat






