Masjid Jamek Negeri Sarawak Tuan Rumah Majlis Hadis dan Isnad Al Muwatta di Kuching

Masjid Jamek Negeri Sarawak bakal menjadi tuan rumah bagi Majlis Hadis & Isnād al-Muwaṭṭa’ yang akan berlangsung selama lima hari, bermula 1 hingga 5 September 2026.

8/26/20262 min read

27 Ogos 2026 – Masjid Jamek Negeri Sarawak bakal menjadi tuan rumah bagi Majlis Hadis & Isnād al-Muwaṭṭa’ yang akan berlangsung selama lima hari, bermula 1 hingga 5 September 2026. Perkara ini telah dikongsikan oleh Setiausaha Politik kepada Timbalan Perdana Menteri, Tuan Haji Irwan Zulkarnain bin Hasbi pada sidang media yang diadakan di Masjid Jamek Negeri Sarawak semalam.

Program keilmuan Islam berskala besar itu dianjurkan oleh Pusat Khidmat Ahli Parlimen P.194 Petra Jaya dengan kerjasama Majlis Bukhari Malaysia, Majlis Islam Sarawak, Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS), Institut Kefahaman Islam dan Dakwah Sarawak (IKMAS), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak (LAKMNS) serta Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM). Majlis tersebut memberi tumpuan kepada pengajian dan pembacaan kitab hadis tersohor, al-Muwaṭṭa’ karya Imam Malik bin Anas al-Asbahi berdasarkan riwayat Imam Yahya bin Yahya al-Laithi. Pengajian berkenaan akan dibimbing secara langsung oleh tokoh ulama muktabar, As-Sheikh Al-Musnid Muhammad Abul Huda Al-Yaqoubi.

Sepanjang empat hari pertama, peserta akan mengikuti sesi pengajian dan pembacaan kitab secara terperinci dari jam 7.30 pagi hingga 9.00 malam, selain proses dhabt dan pentashihan. Kemuncak program pada hari kelima pula akan menyaksikan sesi akhir pentashihan serta penganugerahan ijazah sanad kepada peserta yang memenuhi ketetapan program. Daripada keseluruhan 850 peserta, seramai 350 orang merupakan peserta melalui jemputan khas daripada institusi tahfiz, maktab dan agensi kerajaan di seluruh Sarawak, manakala 500 peserta lagi telah mendaftar secara maya dari seluruh Malaysia dan luar negara. Lebih 60 peserta antarabangsa turut mendaftar secara dalam talian, antaranya dari Brunei Darussalam, Indonesia, Singapura, India, Australia, Maghribi, Tunisia, Syria, Mauritius dan United Kingdom.

Penyertaan dari pelbagai negara itu dilihat mencerminkan potensi Sarawak sebagai salah sebuah destinasi keilmuan Islam yang mampu menghubungkan masyarakat tempatan dengan jaringan tradisi ilmu di peringkat antarabangsa. Pada sidang media yang sama, Ketua Pegawai Eksekutif LAKMNS, Datu Haji Abdul Hadi bin Datuk Haji Abdul Kadir, berkata pihaknya sentiasa terbuka untuk menjalinkan kerjasama dengan mana-mana pihak dalam menganjurkan program yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Majlis perasmian program dijadual berlangsung pada 1 September 2026, jam 8.00 pagi di Masjid Negeri Sarawak dan akan disempurnakan oleh Sahibus Samahah Dato’ Khalidi bin Ibrahim, Mufti Negeri Sarawak. Sementara itu, majlis penutupan pada 5 September 2026 akan disempurnakan oleh Yang Berhormat Datuk Dr. Haji Abdul Rahman bin Haji Junaidi, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak yang mewakili Premier Sarawak. Majlis penutupan tersebut turut merangkumi sesi akhir pentashihan dan penganugerahan ijazah sanad kepada para peserta.

Follow us on social media

Disclaimer: Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website inclusive of using the Online Tools Translator for third language. Services provided through this website are subject to the terms and conditions of the respective service providers.

2024 Hak Cipta Terpelihara LEMBAGA AMANAH KEBAJIKAN MASJID NEGERI SARAWAK

Tingkat 8, BAITUL MAKMUR,

Medan Raya, Petra Jaya, 93050 Kuching, Sarawak, Malaysia.
Phone: +6082440775, 440795, 449042
Email: info@lakmns.org.my

Pelawat