MAJLIS PENGHARGAAN POLIS BANTUAN LAKMNS 2025

Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak telah mengadakan Majlis Penghargaan Polis Bantuan bertempat di Bilik Seminar, Baitul Makmur II.

12/30/20251 min read

Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak telah mengadakan Majlis Penghargaan Polis Bantuan bertempat di Bilik Seminar, Baitul Makmur II.

Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia Datuk Haji Abang Abdul Wahap bin Haji Abang Julai, Ketua Pegawai Eksekutif, LAKMNS. Turut hadir menyerikan majlis ialah Ketua-Ketua Pegawai, Ketua Bahagian dan kakitangan LAKMNS.

Majlis penghargaan ini diadakan bagi meraikan seramai dua belas (12) anggota termasuk pegawai daripada Polis Bantuan, LAKMNS kerana telah berjaya menamatkan Kursus Asas Polis Bantuan Siri 10/2025 pada 4 Disember 2025 yang lalu, bertempat di Maktab Teknik Polis Diraja Malaysia Bakri, Muar, Johor.

Dalam ucapannya, Yang Berbahagia Datuk menyatakan rasa bangga atas pencapaian cemerlang anggota Polis Bantuan LAKMNS, khususnya apabila dua (2) anggota pelatih Polis Bantuan, iaitu Konstabel Polis Bantuan Mohd Iswandy bin Jab dan Konstabel Polis Bantuan Abdul Wahab bin Majid telah dinobatkan sebagai Pelatih Terbaik Keseluruhan dan juga Pelatih Terbaik Latihan Luar. Pencapaian tersebut telah mengharumkan nama LAKMNS dan membuktikan komitmen serta kesungguhan tinggi sepanjang kursus dijalankan.

Beliau turut menegaskan agar setiap Polis Bantuan sentiasa menjaga imej majikan serta Polis Diraja Malaysia khususnya sewaktu melaksanakan tugasan. Menurut beliau, cabaran penugasan keselamatan pada masa kini memerlukan anggota Polis Bantuan yang berkaliber dan bertanggungjawab serta berintegriti untuk memastikan visi dan misi LAKMNS tercapai.

Selain itu, Yang Berbahagia Datuk turut merakamkan penghargaan kepada Bahagian Keselamatan, LAKMNS sambil menyatakan bahawa sepanjang tempoh beliau menerajui LAKMNS, Bahagian Keselamatan telah melaksanakan tugas dengan cemerlang dalam memastikan keselamatan harta benda serta aset majikan dalam keadaan selamat dan terkawal.