Majlis Apresiasi Sempena 5 Tahun Internet Radio Islamic Sarawak (IRIS)

Pada 4 Disember 2025, telah berlangsung Majlis Apresiasi Sempena 5 Tahun Internet Radio Islamic Sarawak (IRIS) bertempat di Bilik Seminar, Baitul Makmur II.

12/4/20251 min read

Pada 4 Disember 2025, telah berlangsung Majlis Apresiasi Sempena 5 Tahun Internet Radio Islamic Sarawak (IRIS) bertempat di Bilik Seminar, Baitul Makmur II.

Majlis ini diadakan bagi meraikan perjalanan lima tahun penubuhan IRIS di bawah Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak (LAKMNS). Penganjuran majlis ini juga bertujuan menghargai sumbangan para petugas, rakan strategik serta pihak-pihak yang sentiasa mendokong operasi IRIS sejak mula ditubuhkan.

Majlis Apresiasi ini disempurnakan oleh Yang Berhormat Datuk Dr. Haji Abdul Rahman Junaidi, Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Bahagian Hal Ehwal Islam dan DBKU).

Sebagai pengisian utama, majlis turut menampilkan tayangan video montaj khas sempena 5 Tahun IRIS, yang merakam perjalanan, pencapaian dan perkembangan platform radio digital ini sejak 2020.

Dalam majlis yang sama, telah diadakan gimik pelancaran paparan baharu laman sesawang rasmi LAKMNS, serta pelancaran Buku Pencapaian 5 Tahun LAKMNS yang mendokumentasikan inisiatif, kejayaan program dan pembangunan organisasi sepanjang tempoh tersebut. Turut dilancarkan pada majlis ini ialah lagu korporat LAKMNS yang bertajuk “Amanah Gemilang” sebagai simbol penyatuan identiti dan aspirasi warga organisasi.

Majlis ini turut dihadiri oleh Yang Berusaha Encik Drahman bin Jaladin merangkap Ahli Jawatankuasa Eksekutif, LAKMNS, Ketua-ketua jabatan, wakil-wakil agensi rakan strategik, pengurusan tertinggi LAKMNS serta warga kerja yang selama ini menjadi tulang belakang kepada kejayaan IRIS.