KURSUS YOUNG EXECUTIVE PROGRAM LAKMNS 2025

Seramai 66 orang Pegawai dan Penolong Pegawai Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak (LAKMNS) telah menyertai Kursus Young Executive Program (YEP) – “Peak Performers, Culture Champion” LAKMNS 2025, yang telah berlangsung pada 11 hingga 13 Oktober 2025 bertempat di Salcra Bajo Training Centre, Lundu

10/23/20251 min read

Seramai 66 orang Pegawai dan Penolong Pegawai daripada setiap jabatan dan bahagian Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak (LAKMNS) telah menyertai Kursus Young Executive Program (YEP) – “Peak Performers, Culture Champion” LAKMNS 2025, yang telah berlangsung pada 11 hingga 13 Oktober 2025 bertempat di Salcra Bajo Training Centre, Lundu anjuran Unit Pembangunan Sumber Manusia, Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (Group HR) LAKMNS.

Program ini bertujuan memperkukuh keupayaan kepimpinan, komunikasi, kerja berpasukan serta motivasi diri dalam kalangan pegawai muda LAKMNS agar lebih berdaya saing dan mampu menjadi peneraju budaya kerja unggul organisasi. Melalui pelaksanaan modul Building High Performance Team Culture: Peak Performers, Culture Champions (PPCC Model), para peserta dibimbing untuk memahami dua dimensi penting iaitu Peak Performers – individu yang mencapai prestasi tinggi berdasarkan pengetahuan, kemahiran dan hasil kerja; serta Culture Champions – individu yang menghayati dan mengamalkan nilai serta budaya organisasi, menjadi teladan kepada rakan sekerja.

Sepanjang program tiga hari dua malam ini, peserta telah mengikuti pelbagai aktiviti interaktif dan latihan dalam kumpulan (LDK) yang menekankan aspek kepimpinan, komunikasi efektif, pengurusan konflik, kreativiti serta pembentukan pasukan berprestasi tinggi. Kursus ini dikendalikan oleh Encik Mohamad Ariff Azahari (Coach Ariff) daripada Positive Impressions, yang berpengalaman luas dalam bidang pembangunan organisasi dan latihan kepimpinan.

Majlis Penangguhan Kursus telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif LAKMNS, YBhg. Datuk Haji Abang Abdul Wahap bin Haji Abang Julai. Dalam ucapannya, YBhg. Datuk menyeru agar semua pegawai LAKMNS sentiasa meningkatkan keupayaan diri sebagai pemimpin yang berwibawa dan berjiwa organisasi, di samping mengamalkan L.E.A.D Model – Learn, Engage, Adapt, Drive, sebagai panduan dalam membina budaya kerja berprestasi tinggi. Beliau turut menegaskan bahawa pegawai muda LAKMNS perlu menjadi pemacu transformasi dan pembawa nilai budaya organisasi agar LAKMNS terus kekal relevan, unggul dan dihormati sebagai badan amanah Islam bertaraf dunia.

YBhg. Datuk turut menyatakan bahawa LAKMNS kini semakin mara ke hadapan dalam usaha mencapai visinya sebagai badan amanah Islam bertaraf dunia. Menurut beliau, kejayaan dan inisiatif yang digerakkan oleh LAKMNS telah menjadikannya contoh serta rujukan (‘benchmark’) kepada pelbagai institusi lain, khususnya dalam bidang pentadbiran dan pengurusan.

Turut hadir pada majlis penangguhan tersebut adalah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Encik Mohamad Feisal bin Said dan Ketua-ketua Pegawai LAKMNS.